770 PATI ditahan dalam Ops Belanja di Bukit Bintang
KUALA LUMPUR – Taktik bersembunyi di kedai, bawah meja malah memanjat bumbung tidak mampu menyelamatkan ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada diberkas dalam operasi besar-besaran Jabatan Imigresen (JIM) di sekitar Bukit Bintang, malam tadi.
Dalam serbuan yang dinamakan Ops Belanja itu, seramai 770 PATI ditahan hasil pemeriksaan ke atas 2,445 individu dalam tempoh dua jam bermula 7.30 malam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Osman berkata, operasi melibatkan 106 pegawai penguat kuasa dan berjaya mengesan pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah yang ditahan, mereka berusia 21 hingga 65 tahun dengan kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menggunakan kad pengenalan tidak diiktiraf,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.
Menurutnya, situasi tegang turut berlaku apabila ada warga asing bertindak kasar dan cuba menghalang tugas anggota penguat kuasa.
Daripada jumlah tangkapan, 377 merupakan warga Bangladesh, Myanmar (235), Nepal (72), India (58), Indonesia (19) serta sembilan lain-lain warganegara.
“Mereka semua dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses saringan sebelum ditempatkan di depot tahanan di Beranang dan Lenggeng bagi siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Tambah beliau, operasi bersepadu itu dijalankan hasil risikan dan aduan awam yang mendakwa kawasan Bukit Bintang menjadi tumpuan utama warga asing tanpa dokumen sah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








