JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki hilang ketika menjala ikan ditemukan lemas di Sungai Kanowit

KUCHING – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan di Sungai Kanowit, Nanga Sebuloh, Julau, kelmarin, ditemukan lemas pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Geoffrey Senah, 39, dilaporkan keluar menjala menggunakan perahu pada pukul 7 pagi Rabu lalu di kawasan sungai berkenaan.

Kehilangan mangsa menimbulkan kebimbangan apabila dia tidak pulang ke rumah memaksa ahli keluarga serta penduduk rumah panjang keluar mencarinya di kawasan tersebut.

Penduduk kemudian menemui perahu milik mangsa yang hanyut di sungai dengan barangan peribadi masih berada di dalamnya kecuali jala yang digunakan untuk menangkap ikan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.50 tengah hari semalam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 3.07 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 72 kilometer.

“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama beberapa agensi lain di sekitar kawasan sungai,” katanya.

Mangsa akhirnya ditemukan oleh penduduk rumah panjang pada pukul 7.30 pagi tadi, kira-kira 100 meter dari lokasi dia dipercayai menjala ikan.

Mayat mangsa dibawa ke tebing sungai oleh pasukan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR tersebut membabitkan tiga anggota bomba, dua anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta sembilan penduduk rumah panjang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.20 pagi tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button