JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja hilang jatuh sungai ditemukan maut selepas tiga hari

KUCHING – Kehilangan seorang remaja lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika bermain bersama rakan di Kampung Kolong Sungai Tengah, di sini kelmarin, ditemukan meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa, Fahrell Zaquan Hasbullah, 16, ditemukan orang awam kira-kira pukul 11.20 pagi selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 4 petang Jumaat lalu apabila mangsa bermain di tebing sungai berhampiran sebuah sekolah sebelum dipercayai tergelincir dan dihanyutkan arus deras.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.32 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai berkenaan.

“Operasi SAR hari ketiga melibatkan lapan anggota bomba diketuai PBK I Pandi Seh dengan pencarian dilakukan menyusuri sungai sehingga dua kilometer ke hilir dari Pos Kawalan Operasi Bomba (PKOB),” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, mayat mangsa ditemukan kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh sebelum dibawa menaiki bot ke pangkalan Masjid Kampung Tengah Sungai.

Ahli keluarga mangsa kemudian membuat pengecaman sebelum jasad diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2 petang selepas mangsa berjaya ditemukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button