Ajal di hadapan rumah, budak 12 tahun maut dihempap blok simen
PASIR PUTEH – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dihempap blok konkrit dalam satu kejadian tragis di hadapan rumahnya di Kampung Telaga Papan, Semerak, di sini semalam.
Dalam insiden pada pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohammad Yusof Nor Ismail, sedang bermain korek pasir berhampiran blok konkrit tersebut bersama bapa saudaranya, Mohd Yunus Nasir, yang juga berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob, berkata ahli keluarga keluarga kemudian memaklumkan kedua-dua kanak-kanak itu terjatuh ke dalam lubang telaga pasir sebelum mendapati mereka dihempap simen konkrit akibat hakisan pasir.
“Mangsa didapati tidak sedarkan diri dan keluarga menghubungi Klinik Kesihatan Cherang Ruku, sebelum penolong pegawai kesihatan klinik berkenaan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, mengikut saksi, seorang lagi kanak-kanak mengalami cedera di leher.
Mangsa yang cedera dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis (HTA) untuk rawatan lanjut.
Menurut Aktivis Jejak Jalanan, Tengku Mohd Harith Hakimin Tengku Abdul Azis, mangsa serta keluarganya merupakan antara penerima sumbangan bulanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
Katanya, mayat mangsa kini berada di HTA untuk urusan bedah siasat dan pihaknya akan membantu urusan pengebumian mangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















