BERITA SEMASA

Keputusan kemasukan ke UA, IPTA, MARA BPT diumum 22 Mei ini

PUTRAJAYA – Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA), institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) peringkat sijil, asasi dan diploma sesi akademik 2026/2027 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 22 Mei ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, keputusan boleh disemak mulai hari tersebut jam 12 tengah hari hingga 31 Mei ini, jam 5 petang.

“Semakan boleh dibuat melalui pautan, https://upu.mohe.gov.my atau melalui Aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar atau melalui Aplikasi Mobile MyGov di telefon pintar.

“Pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 23 hingga 31 Mei ini di laman web UA, IPTA dan MARA BPT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan UA, IPTA dan MARA BPT kepada yang berjaya mulai 23 Mei ini setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.

“Hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 22 Mei ini, jam 12 tengah hari sehingga 31 Mei, jam 5 petang. Rayuan ke Kolej Komuniti (KK) boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline®.

“Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian UA, IPTA dan MARA BPT tidak dibenarkan

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button