BERITA SEMASAPMX

Belanjawan MADANI 2026 perkukuh asas ekonomi, bantu rakyat

KUALA LUMPUR – Belanjawan MADANI 2026 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat petang ini dijangka meneruskan momentum kukuh ekonomi negara dengan tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat serta pengurusan fiskal berhemah.

Menurut kenyataan prabelanjawan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, pembentangan belanjawan kali ini akan memaknai tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan taraf hidup rakyat, serta memperkukuh tatakelola dan reformasi sektor awam.

Belanjawan 2026 juga akan memberi fokus kepada usaha mengekalkan daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, selain memperkukuh agenda ekonomi jangka panjang Malaysia.

Dalam masa sama, bantuan bersasar berteraskan keberhasilan turut diberi penekanan bagi menambah baik kualiti hidup rakyat, selaras dengan matlamat Belanjawan MADANI untuk memastikan pertumbuhan inklusif dan mampan.

Sementara itu, Anwar dalam satu kenyataan berkata, pembentangan Belanjawan MADANI Keempat petang ini bukan sekadar melibatkan angka dan perbelanjaan, tetapi mencerminkan hala tuju kerajaan dalam membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.

“Insya-Allah, petang ini saya akan membentangkan Belanjawan MADANI Keempat di Dewan Rakyat.

“Belanjawan ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan tetapi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara,” katanya di Facebook.

Perdana Menteri turut mengajak orang ramai menyaksikan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 secara langsung di semua saluran televisyen dan platform digital utama pada jam 4 petang ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button