Siasatan pengisytiharan harta Ismail Sabri masih di peringkat awal – SPRM
PUTRAJAYA – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan pengisytiharan harta bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berada pada tahap 15 hingga 20 peratus.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ini kerana siasatan melibatkan pengisytiharan harta sememangnya akan mengambil masa.
“Mengisytiharkan satu hal, yang pentingnya dari segi memastikan apakah yang diisytiharkan itu benar atau tidak,” katanya, hari ini.
Beliau menambah, SPRM akan memanggil semula Ismail dalam tempoh lebih kurang dua minggu lagi kerana pihaknya ada meminta bekas perdana menteri itu menyediakan beberapa dokumen tambahan.
Untuk rekod, Ismail Sabri selesai memberi keterangan buat kali kesembilan 25 April lalu.
SPRM menjalankan siasatan ke atas Ismail Sabri memandangkan beliau dianggap suspek dalam siasatan melibatkan empat bekas pegawainya.
Ismail Sabri,65, selesai mengisytiharkan hartanya kepada SPRM 10 Februari lalu dan mula disiasat agensi itu sejak 19 Februari.
Beliau juga sudah dipanggil untuk dirakam keterangan pada 13, 14, 17, 19, 20, dan 24 Mac, kemudian disambung lagi pada 24 April, dengan setiap sesi mengambil masa sekitar enam jam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








