JPJ Selangor tahan bas sekolah tamat cukai jalan sejak 2020
RAWANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menyita sebuah bas sekolah kerana telah tamat cukai jalan sejak lima tahun lalu dalam Ops Van Sekolah Haram di Bukit Sentosa, dekat sini semalam.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, bas itu dikesan hasil pemeriksaan pegawai dan anggota JPJ pada pukul 12.19 tengah hari.
Pemeriksaan mendapati, pelbagai kesalahan serius dilakukan pemandu tempatan berusia 23 tahun itu.
“Pemandu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah yang diperlukan untuk kenderaan perdagangan.
“Pemeriksaan juga mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sejak 11 Disember 2020, tiada insurans, tiada pemeriksaan Puspakom yang sah serta pemandu tidak memiliki CDL dan PSV yang diwajibkan untuk membawa penumpang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, pemandu bas turut memberi alasan bahawa kenderaan tersebut baharu dibeli serta tidak sempat menguruskan hal dokumentasi.
“Ini bukan soal masa atau keselesaan pemandu, ini soal nyawa pelajar. Tindakan tegas perlu diambil kerana kecuaian seperti ini boleh menyebabkan risiko tidak diingini,” katanya.
Susulan operasi berkenaan, sebanyak 13 saman dikeluarkan, sementara bas berkenaan disita untuk tindakan lanjut.
“JPJ Selangor akan terus mempergiat pemantauan terhadap kenderaan perdagangan termasuk kenderaan yang beroperasi tanpa mematuhi syarat keselamatan.
“Orang awam digalakkan menyalurkan aduan kesalahan trafik melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan dengan memberikan butiran lengkap bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








