JPJ laksana nombor giliran tanpa had di semua pejabat
KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan pemberian nombor giliran tanpa had sepanjang waktu operasi di semua pejabatnya di seluruh negara bermula 13 Januari lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu dibuat susulan maklum balas orang ramai berhubung situasi nombor giliran habis walaupun waktu operasi kaunter masih berbaki.
Menurutnya, pendekatan baharu itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif, telus dan berorientasikan pelanggan.
“Situasi nombor giliran habis sebelum ini bukanlah disebabkan penutupan awal kaunter, sebaliknya berdasarkan penetapan had kapasiti harian mengikut keupayaan sebenar operasi.
“Penetapan itu dibuat dengan mengambil kira keupayaan sumber manusia, tempoh masa perkhidmatan serta jenis urusan yang memerlukan pemeriksaan dan pengesahan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan setiap pelanggan yang menerima nombor giliran dapat dilayan dengan sempurna dalam waktu operasi ditetapkan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.
Mengulas lanjut, Aedy memaklumkan sistem JPJeQ sepanjang tahun 2025 telah mengeluarkan sebanyak 9.3 juta nombor giliran dengan purata sekitar 39,000 nombor sehari di seluruh negara.
“Angka ini mencerminkan jumlah kehadiran pelanggan yang tinggi serta kebergantungan signifikan terhadap perkhidmatan kaunter fizikal,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengakui persepsi negatif boleh timbul apabila pelanggan yang hadir lewat tidak lagi memperoleh nombor giliran walaupun kaunter masih dibuka.
“JPJ mengambil maklum keresahan orang ramai. Justeru, kita menambah baik pendekatan sedia ada supaya tiada lagi persepsi bahawa pelanggan dinafikan hak untuk mendapatkan perkhidmatan.
“Bermula 13 Januari lalu, semua pejabat JPJ melaksanakan pemberian nombor giliran tanpa had sepanjang waktu operasi kaunter,” katanya lagi.
Waktu operasi bagi hari Isnin dan Jumaat adalah dari jam 7.45 pagi hingga 5.30 petang, manakala Selasa hingga Khamis dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang.
Bagaimanapun, pelanggan masih perlu mendapatkan nombor giliran melalui sistem JPJeQ bagi membolehkan perancangan kehadiran lebih awal serta membantu pejabat mengurus aliran pelanggan secara sistematik dan tersusun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








