PAS kini adalah King Maker – Sanusi
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor menyifatkan parti PAS pada ketika ini sebagai kuasa penentu atau King Maker dalam lapangan politik tanah air.
Justeru Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu berkata, mana-mana gerakan politik di negara ini memerlukan penglibatan parti tersebut kerana PAS mewakili suara majoriti dalam jumlah kerusi yang memenangi pilihan raya.
“Saya rasa kalau tak libatkan PAS secara serius tidak akan ke mana mana, semua gerakan politik Malaysia pada hari ini mesti melibatkan PAS, King Maker.
“Kalau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nak buat apa-apa tanpa libat Pas tak akan berjaya sambung hayat politik dia,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Sanusi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berpandangan UMNO tidak berhasrat untuk menjalinkan sebarang bentuk kerjasama dengan parti yang bermuslihat.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu dipercayai merujuk kepada PAS, sebagai parti yang pernah bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Sebaliknya kata Sanusi, tuduhan Ahmad Zahid itu seperti meludah ke muka sendiri kerana pembubaran MN juga mempunyai kaitan dengan tindakan dan rancangan Ahli Parlimen Bagan Dato itu.
“Dia sendiri banyak muslihat, masa MN ditubuhkan dia bercuti, sudah nampak Datuk Seri Mohamad Hasan berupaya memimpin UMNO, mengadakan MN, perpaduan ummah bersama Pas dia keluar daripada cuti dia.
“Selepas itu mula berlaku manuever yang ikat Perpaduan Ummah hanya Pas dan UMNO. Saya rasa itu bukan hasrat sebenar Perpaduan Ummah dalam MN. Tetapi Zahid kembali daripada bercuti untuk pastikan hanya berlaku Pas dan UMNO, tolak Bersatu,” katanya.
Tambahnya, UMNO sedang mengalami krisis di bawah Ahmad Zahid sehinggakan parti itu ditolak pada pilihan raya negeri (PRN) di Kedah yang menjadi manifestasi kepada penolakan kepimpinan Presiden UMNO itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








