JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket pemalsuan dokumen tumpas, tiga warga Sri Lanka ditahan

PUTRAJAYA – Tiga warga asing yang terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen imigresen ditahan selepas serbuan dilakukan dalam operasi khas oleh Jabatan Imigresen (JIM) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan itu dibuat menerusi ‘Ops Serkap’ hasil risikan dan pemantauan berterusan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, operasi bersepadu itu dijalankan di dua premis kediaman di Selayang dan Desa Petaling yang dipercayai menjadi pusat kegiatan sindiket berkenaan.

imigresen
Antara dokumen palsu yang disediakan sindiket berkenaan.

“Tindakan bersepadu ini berjaya membongkar taktik licik sindiket yang cuba memanipulasi sistem imigresen serta mencabar integriti pengurusan warga asing negara.

“Siasatan awal mendapati, modus operandi sindiket ini melibatkan pengubahsuaian ke atas dokumen tulen yang dikeluarkan oleh JIM seperti ePASS dan pelekat palsu untuk digunakan oleh pihak lain bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

“Selain itu, terdapat juga beberapa dokumen pendaftaran perkahwinan (pasangan kepada warganegara) serta laporan perubatan yang telah disediakan bagi tujuan pendaftaran permohonan melibatkan JIM dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kegiatan itu dipercayai dilakukan secara terancang kurang dari dua tahun dengan penglibatan rangkaian tertentu bagi melancarkan urusan kemasukan dan keberadaan warga asing secara tidak sah di negara ini.

Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa merampas 11 pasport pelbagai negara, 15 keping i-kad, lima peranti digital, lima telefon bimbit serta sebuah mesin pencetak yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pemalsuan.

Seramai tiga suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun ditahan terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki warga Sri Lanka, manakala satu saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek kini ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan data dan dokumen melibatkan warga asing.

“Tiada ruang untuk pemalsuan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat termasuk mereka yang melindungi atau bersubahat.

“Penguatkuasaan akan terus diperkukuh secara berterusan dan bersepadu bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen sentiasa terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button