KEMENTERIAN KOMUNIKASI

Pusat media PRN Melaka ditambah baik, skrin LED antara kemudahan dicadang – Fahmi

AYER KEROH – Kementerian Komunikasi merancang menambah baik kemudahan di pusat media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memudahkan urusan petugas media sepanjang tempoh pilihan raya.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara penambahbaikan yang dicadangkan ialah penyediaan papan pintar atau skrin LED bagi membolehkan maklumat terkini disampaikan secara digital dan dikemas kini dengan lebih pantas.

Katanya, penggunaan kemudahan berkenaan lebih praktikal berbanding penyediaan bahan bercetak kerana sebarang perubahan maklumat boleh dipaparkan secara langsung.

“Saya telah meminta supaya beberapa aspek diteliti dan ditambah baik oleh Kementerian Komunikasi. Sebagai contoh, kita dapat melihat keperluan kemudahan papan pintar atau skrin LED yang membolehkan maklumat terkini dimuat naik secara langsung.

“Kaedah digital ini jauh lebih mudah berbanding bahan cetakan fizikal, kerana sebarang maklumat baharu boleh dikemas kini dan dipaparkan serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat media utama PRN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Baca juga : PRN Melaka: Fahmi ingatkan pengendali media sosial hormati hak cipta kandungan berita

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, kaunter aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut disediakan di pusat media berkenaan bagi membolehkan petugas media melaporkan sebarang gangguan atau masalah capaian internet ketika menjalankan tugasan.

Beliau turut menggalakkan pengamal media memanfaatkan aplikasi MCMC Nexus untuk menguji kelajuan internet serta mengenal pasti lokasi yang berdepan masalah capaian rangkaian sepanjang membuat liputan pilihan raya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button