PM Anwar cadang perkongsian ekonomi komprehensif ASEAN-GCC
RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) (CEPA) pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, di sini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, perjanjian tersebut adalah sebgai langkah ke depan demi rakyat kedua-dua rantau dan akan menjadi perjanjian hubungan perdagangan bebas (FTA) yang pertama yang akan menggabungkan ASEAN dan negara-negara Teluk.
“Saya turut menyentuh mengenai hubungan istimewa ASEAN-GCC serta tantangan yang melingkunginya terutamanya aspek geopolitik yang pasti mengesankan hubungan ekonomi antara kedua-dua benua, dan ia mesti segera didepani bagi memaksimakan potensi ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Selain itu, dalam sidang tersebut, Anwar turut mengulangi pendirian berkenaan hak rakyat Palestin yang mesti dikembalikan serta diiktiraf hak kenegaraannya, dan juga mengakui sempadan pra-1967 dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara.
“Malaysia menegaskan bahawa prinsip dan hukum antarabangsa mesti diperteguh selain mengecam kemunafikan komuniti antarabangsa terhadap pencabulan hak asasi manusia dan pembantaian ke atas warga Palestin.
“Malaysia juga menggesa agar koridor bantuan kemanusiaan mesti segera digerakkan bagi memudahkan kemasukan bantuan makanan dan perubatan,” ujarnya lagi.
Anwar berkata, beliau turut menyatakan penghargaan kepada Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Muhammad bin Salman kerana mengambil inisiatif yang menggabungkan dua ketumbukan yakni negara-negara ASEAN dan negara-negara teluk.
“Kerajaan Arab Saudi juga telah lebih awal mengambil inisiatif yang sama berkaitan Palestin di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) beberapa hari yang lalu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








