BERITA SEMASA

KKR keluar SST 3 Mac ini, baiki segera jalan rosak LTU Gua Musang – Nanta Linggi

PUTRAJAYA – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memandang serius isu jalan rosak dan kesesakan di Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Gua Musang, Kelantan, susulan aduan pengguna jalan raya kebelakangan ini.

Menurut beliau, perkara itu dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Pasca Kabinet di Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini bersama pengurusan tertinggi kementerian.

“Seperti biasa, dalam Mesyuarat Pasca Kabinet di Kementerian Kerja Raya hari ini, pelbagai isu terkait kementerian telah dibincangkan bersama semua pengurusan tertinggi.

“Antara yang telah saya bangkitkan di meja bulat hari ini adalah berkaitan isu jalan rosak dan kesesakan di Lingkaran Tengah Utama Pakej 3B dan 3C di Gua Musang, Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Beliau turut memaklumkan telah turun padang meninjau sendiri keadaan di lokasi terlibat bagi melihat perkembangan semasa dan mendapatkan gambaran sebenar situasi di lapangan.

Dalam mesyuarat berkenaan, jelasnya, Surat Setuju Terima (SST) bagi kerja-kerja pembaikan akan dikeluarkan pada 3 Mac 2026.

“Sejurus SST diserahkan, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan serta-merta dan disasarkan siap sepenuhnya dalam tempoh satu minggu,” ujarnya.

KKR menegaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya kekal menjadi keutamaan utama, khususnya menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka menyaksikan peningkatan trafik ketara di laluan berkenaan.

Menurutnya, segala usaha sedang dipercepatkan bagi memastikan laluan tersebut selamat, selesa dan boleh digunakan dengan baik sempena musim perayaan.

Dalam pada itu, KKR akan memantau rapi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan agar ia dilaksanakan mengikut spesifikasi serta tempoh yang ditetapkan.

“Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan tidak akan dikompromi. Kerjasama dan keprihatinan orang awam amat dihargai demi keselamatan bersama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button