Bekas pengarah eksekutif antara tiga direman SPRM
PUTRAJAYA – Seorang bekas pengarah eksekutif bersama dua individu direman selama lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tuntutan menggunakan dokumen mengandungi maklumat palsu berjumlah kira-kira RM2.5 juta.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek seorang lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an dikeluarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab. Shukor di Mahkamah Sesyen Putrajaya pagi tadi, selepas permohonan dibuat oleh pihak suruhanjaya.
Difahamkan, ketiga-tiga individu berkenaan ditahan antara pukul 4 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penggunaan dokumen mengandungi maklumat palsu yang dipercayai melibatkan tuntutan bayaran balik dan bonus bernilai sekitar RM2.5 juta,” menurut kenyataan itu.
“Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dipercayai berlaku antara tahun 2022 hingga 2024 dan melibatkan tuntutan bayaran balik serta pembayaran bonus menggunakan dokumen yang mengandungi butiran palsu,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana disyaki menggunakan dokumen palsu bagi tujuan memperdaya dalam urusan kewangan,” katanya.
Menurut beliau, SPRM memandang serius sebarang bentuk penipuan dokumen dan akan terus menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







