Kes cubaan bunuh pelajar UiTM Dungun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
KUALA TERENGGANU – Mahkamah Sesyen hari ini, memerintahkan kes seorang wanita yang berdepan pertuduhan cubaan membunuh seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membenarkan permohonan supaya kes pendakwaan dan perbicaraan Norizan Ismail, 50, yang didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dipindahkan ke mahkamah tersebut.
Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Shahir Jusoh kelihatan tenang di kandang tertuduh selepas mendengar keputusan mahkamah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabihah Hanin Ayim, seperti dilaporkan Buletin TV3.
Mahkamah turut memutuskan bahawa kes berkenaan akan dibicarakan bersama pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyebabkan kematian tiga lagi penuntut UiTM Dungun, iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anuar Jamaluddin, masing-masing berusia 20 tahun ketika kejadian.
Pada 15 Oktober 2024, Norizan dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan ibu kepada tiga anak itu dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri sebelum kes dibicarakan.
Selepas tiga bulan menjalani rawatan, laporan psikiatri yang dikeluarkan pada 14 Januari lalu mengesahkan bahawa tertuduh layak dibicarakan.
Kes berkenaan berpunca daripada kejadian pada 9 Oktober 2024, apabila tertuduh yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV didakwa merempuh empat pelajar UiTM Dungun, menyebabkan tiga maut manakala seorang lagi cedera.
Mahkamah Tinggi akan menetapkan tarikh baharu bagi sebutan dan perbicaraan kedua-dua kes dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








