BERITA SEMASA

Murid tahun enam maut motosikal ditunggang rempuh lori

GURUN – Seorang murid lelaki tahun enam maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori di Jalan Gurun-Jeniang berhampiran lampu isyarat Batu 3, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, mangsa berusia 12 tahun mengalami kecederaan parah pada badan dan paha sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pembonceng motosikal, seorang pelajar lelaki tingkatan dua, pula hanya mengalami luka dan calar pada tangan serta kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asistan Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika lori berkenaan bergerak perlahan untuk berhenti di lampu isyarat.

Menurutnya, pemandu lori kemudian mengelak ke laluan susur kiri selepas mendapati sebuah kereta di hadapannya berhenti secara mengejut ketika lampu isyarat bertukar merah.

“Pemandu lori kemudian terdengar bunyi dentuman dari arah belakang sebelum mendapati sebuah motosikal melanggar bahagian sisi belakang sebelah kiri lori berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, seorang mangsa didapati tersepit pada tayar belakang sebelah kiri, manakala seorang lagi terjatuh di atas jalan raya bersebelahan lori,” katanya dalam kenyataan.

Hanyan berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng tidak mendapatkan rawatan kerana hanya mengalami luka dan calar pada tangan serta kaki.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button