
BERITA SEMASA
5,000 lencana, bukti kecintaan terhadap dunia Pengakap
BATU KAWAN – Sebanyak 5,000 lencana Pengakap berjaya dikumpul seorang pemimpin Pengakap dari Pontian, Johor, Khairul Anuar Mosmin hasil penyertaannya dalam pelbagai jambori yang disertainya sejak lebih sedekad lalu.
Khairil Anuar berkata, minat mengumpul lencana itu bermula sekitar 2013 sebelum turut dipupuk dalam kalangan anak didiknya, termasuk Nur Damia Darwisya Khairul Anuar, Farah Syazwana Mohd Shafie dan Nur Farah Humairah Muhammad Aliyaris Affandi.
Menurutnya, koleksi berkenaan bukan sekadar untuk disimpan, malah menjadi cara untuk mempamerkan perjalanan dan pengalaman mereka sepanjang menyertai pelbagai jambori.
“Saya telah menanamkan minat kepada mereka untuk mengumpulkan lencana ini. Mereka juga mempunyai koleksi sendiri dan tahu cara untuk mempamerkannya, sama ada dalam bentuk tampalan atau susunan tertentu,” katanya dalam hantaran di Facebook Pengakap Malaysia.
Khairil Anuar berkata, koleksi lencana itu turut dibawa ke jambori sebagai bahan untuk dikongsi dan diperlihatkan kepada rakan-rakan Pengakap dari negeri atau negara lain.
Katanya, kegiatan mengumpul dan bertukar lencana menjadi salah satu cara peserta berkenalan serta mengeratkan persahabatan dengan warga Pengakap yang ditemui sepanjang jambori.
“Kita datang ke jambori dan apabila ada rakan yang berminat, kita boleh bertukar-tukar lencana atau barangan lain. Daripada situ, kita dapat menambah kawan,” ujarnya.

Menurut beliau, sesebuah koleksi yang besar tidak dapat dikumpulkan dalam tempoh satu jambori, sebaliknya memerlukan masa serta penyertaan berterusan dalam pelbagai program kepengakapan.
Katanya, setiap lencana mempunyai cerita dan nilai tersendiri kerana diperoleh daripada jambori atau kegiatan yang berbeza.
“Sebenarnya, kita tidak boleh siapkan koleksi seperti ini dalam satu jambori. Kita perlu menyertai pelbagai jambori dan melalui pengalaman itu, kita boleh menambah koleksi serta mengenali lebih ramai kawan,” jelasnya.
Beliau berkata, koleksi tersebut juga menjadi antara cara untuk memperkenalkan kepelbagaian dalam gerakan Pengakap, khususnya apabila peserta dapat melihat lencana yang mempunyai reka bentuk dan identiti berbeza.
Khairil Anuar berharap minat mengumpul lencana dalam kalangan generasi muda terus dipupuk kerana aktiviti berkenaan bukan sahaja menarik, malah dapat menggalakkan mereka menyertai lebih banyak kegiatan Pengakap.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






