BERITA SEMASA

Festival Skaf Pengakap Antarabangsa Pahang catat rekod penyertaan terbesar

KUANTAN – Festival Skaf Pengakap Antarabangsa Negeri Pahang 2025 sekali lagi melakar sejarah apabila tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai program pengakap dengan penyertaan terbesar di negara ini.

Program edisi ketiga itu semalam berjaya menghimpunkan seramai 22,825 peserta daripada 12 buah negara, menjadikannya festival berskala antarabangsa yang signifikan.

Wan Rosdy (tiga dari kiri) bersama barisan penganjur dan kepimpinan pengakap.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan festival tersebut berkata, pengiktirafan itu membuktikan bahawa aktiviti kepengakapan mampu menjadi wadah penyatuan generasi muda dari pelbagai latar belakang.

“Pemakaian skaf bukan sekadar kalungan hiasan, sebaliknya ia membawa maksud tersendiri sebagai lambang sebuah keluarga besar.

“Saya menyeru anak-anak muda agar melibatkan diri dalam aktiviti pengakap kerana ia menyemai disiplin, membentuk sahsiah serta membina daya kepimpinan,” katanya.

Festival yang diadakan di Kuantan itu turut disertai 17,861 pelajar daripada 527 sekolah rendah dan menengah di 11 negeri seluruh negara dengan sokongan 1,871 guru pengiring serta 2,228 petugas.

Sebahagian wakil pengakap dari luar negara yang menyertai festival tersebut.

Sementara itu, 725 peserta antarabangsa mewakili 11 negara turut sama memeriahkan program.

Antaranya Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, India, Vietnam, Jepun, Pakistan, Arab Saudi dan Afrika Selatan.

Festival kali ini turut menyaksikan keberangkatan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang, Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diangkat sebagai Ikon Kelana Negeri Pahang.

Wan Rosdy menandatangani Sijil MBOR sebagai simbolik pengiktirafan tersebut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan serta Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ahmad Sabri Saad.

Untuk rekod, festival berkenaan turut mendapat pengiktirafan sama daripada MBOR pada tahun lalu dengan penyertaan seramai 19,397 ahli pengakap dalam dan luar negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button