Perpaduan negara terjamin jika hak semua kaum dipelihara – PM
MERSING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perpaduan negara hanya dapat dijamin sekiranya hak majoriti Melayu dan Islam dipertahankan tanpa menafikan hak kaum lain yang juga warganegara Malaysia.
Beliau berkata keseimbangan itu telah lama menjadi asas kepada keharmonian negara yang berbilang kaum.
“Kalau kita mahu jamin perpaduan, negara ini majoriti Melayu, Islam, mesti pertahankan hak mereka.
“Tapi negara ini juga mesti jamin hak semua warganegara (kaum) Cina, India, Orang Asli, Dayak, Kadazan,” katanya pada sesi Temu Anwar bersempena Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 (PAPJ27) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai peranan golongan muda sebagai pewaris masa depan, Anwar berkata mereka perlu diberikan ruang, latihan dan peluang seluas-luasnya bagi membina disiplin serta kemahiran kepimpinan.

“Kalau anak-anak muda cukup terlatih dan disiplin, masa depan kita lebih terjamin. Siapa yang akan menjadi pewaris? Anak-anak muda. Siapa yang menentukan masa depan? Anak muda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini memberi tumpuan kepada agenda keamanan, keterhubungan digital serta tenaga serantau yang dapat memperkukuh hubungan antara negara anggota.
Beliau turut menyambut baik cadangan untuk mengadakan perhimpunan pengakap ASEAN sebagai platform memperkukuh kerjasama belia di rantau ini.
Katanya, pergerakan pengakap kekal relevan sepanjang zaman kerana nilai asas yang dipupuk persatuan itu ialah kemanusiaan dan ihsan.
“Dia (pengakap) relevan 100 tahun lalu, dia akan relevan 100 tahun akan datang, melainkan manusia itu sudah hilang kemanusiaannya.
“Kalau manusia kekal menjadi manusia, badan-badan yang memupuk nilai manusiawi atau insani ini akan kekal relevan.
“Cuma tentulah, ada kemahiran (pengakap) dahulu tak cakap soal digital, tak bicara soal AI (kecerdasan buatan). Sekarang kita bicara soal itu. Tapi tonggaknya tidak hilang. Apa tonggaknya? Kemanusiaan dan ihsan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








