Geramm kecam serangan terhadap wartawan sukan
KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam insiden serangan terhadap wartawan sukan, Haresh Deol, yang berlaku ketika beliau sedang menjalankan tugasan lapangan.
Dalam kenyataan hari ini, Geramm menegaskan bahawa tindakan ganas terhadap wartawan yang juga pengasas TwentyTwo13 itu adalah tidak wajar, bertentangan dengan prinsip demokrasi dan mencabuli kebebasan media.
“Serangan fizikal ke atas wartawan bukan sahaja mengancam keselamatan individu, malah menjejaskan hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan bebas tekanan,” kata Geramm.
Sehubungan itu, Geramm menyeru pihak polis supaya menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus, termasuk mengenal pasti motif serta pihak yang terlibat.
Geramm juga menekankan perlunya tindakan tegas terhadap pelaku, bagi menghantar mesej jelas bahawa keganasan terhadap petugas media tidak boleh ditoleransi.

“Keselamatan wartawan semasa membuat liputan isu awam mesti dijamin. Semua pihak, termasuk pemimpin politik dan masyarakat, perlu menghormati peranan mereka sebagai penyampai maklumat, bukan sasaran serangan atau ancaman,” tambah Geramm.
Tindakan segera dan tegas diharapkan dapat memastikan wartawan dapat menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut, selaras dengan hak rakyat untuk menerima berita yang sahih dan tepat.
Haresh hari ini mendakwa diserang dua individu dalam satu kejadian petang ini sebelum tampil membuat laporan polis.
Menurut kenyataan dalam aplikasi X, Haresh turut mendakwa kejadian itu dirakam oleh seorang lagi individu.
Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan di Pondok Polis Bangsar hari ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








