Gagal ke final 200m, Azeem akui belum bersedia sertai dua acara dalam satu kejohanan
BOCHUM – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, mengakui tubuhnya belum cukup bersedia untuk mengharungi dua acara dalam satu kejohanan selepas gagal mara ke final acara 200 meter lelaki pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 awal pagi tadi.
Pelari berusia 21 tahun itu berkata, ini merupakan kali pertama beliau menyertai dua acara dalam satu kejohanan sejak meninggalkan bangku sekolah.
“Saya masih berlari hari ini untuk membuktikan saya layak berada di sini dan saya mahu bersaing, bukan hanya untuk sertai saja.
“Sejujurnya selepas larian hari ini saya tahu keadaan badan saya belum bersedia untuk sertai dua acara dalam satu kejohanan.
“Tetapi ini persediaan amat baik untuk 2026 sebab perancangan saya berlari dalam 100m dan 200m, jadi nak kata saya kecewa tidak, sebab saya tahu ini bukan acara utama saya,” katanya.
Azeem menamatkan saringan satu separuh akhir di kedudukan ketujuh selepas merakam masa 21.51 saat, lebih perlahan berbanding catatan 21.26s yang dilakukan pada pusingan pertama, semalam.
Azeem yang juga penuntut Universiti Auburn, Amerika Syarikat, sebelum ini mencatat masa terbaik peribadi 20.79 saat dalam acara 200m yang dilakukan di kejohanan di Florida, April lalu.
Catatan itu hanya dibezakan 0.02s daripada rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








