BERITA SEMASA

Masjid perlu ambil tanggungjawab tangani cabaran, masalah ummah – Sultan Perak

IPOH – Masjid perlu keluar daripada peranan lapuk, sekali gus mengambil tanggungjawab membantu menangani cabaran serta masalah yang dihadapi ummah semasa.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ahli jawatankuasa (AJK) dan kariah masjid tidak boleh ‘memekakkan telinga’ serta ‘memejamkan mata’ terhadap isu yang mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan ummah.

Sebaliknya, mereka perlu menjadikan masjid berperanan aktif dalam membantu menangani isu termasuk keterjaminan makanan, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, serta kesihatan rakyat, lapor BERNAMA.

“Atas fahaman bahawa banyak masjid memiliki kawasan tanah boleh dioptimumkan penggunaannya, masjid hendaklah bergerak aktif dalam program keterjaminan makanan seperti menyuburkan kawasan masjid dengan tanaman sayur dan pohon buah-buahan.

“Beta menghargai usaha dan bantuan dihulurkan Jabatan Pertanian dalam menjayakan program keterjaminan makanan di 118 masjid di Perak.

“Kejayaan awal ini hendaklah menjadi pendorong untuk lebih banyak jawatankuasa masjid menggiatkan ahli kariah menghasilkan bahan makanan di tanah-tanah milik masjid,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Dipertua serta anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan, di sini hari ini.

Baginda seterusnya bertitah, masjid juga boleh memainkan peranan memberi kesedaran mengenai kelestarian bumi menerusi program masjid lestari yang memfokus pengurusan bahan buangan, pengurangan penggunaan bahan plastik, dan memperkenalkan program kitar semula.

Selain itu, program masjid hijau boleh dilaksanakan melalui amalan teknologi hijau seperti penggunaan tenaga solar, sistem pengumpulan air hujan, pengurusan sisa secara efisien, serta memberi pendidikan alam sekitar dan kepentingan biodiversiti menerusi siri tazkirah serta ceramah berkala.

Selain itu, Sultan Nazrin turut bertitah, dengan statistik dan data isu kesihatan rakyat Malaysia yang kian membimbangkan, jawatankuasa masjid disaran melaksanakan program mengilmukan kariah dan menjadi pemangkin amalan gaya hidup sihat dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif berkaitan.

Ia termasuk menganjurkan tazkirah dan ceramah siri pendidikan kesihatan dengan kerjasama pegawai kesihatan, perubatan serta pemakanan; program sukan dan riadah di pekarangan masjid; dan menghentikan penyediaan minuman manis dalam jamuan di masjid serta mengurangkan garam dan lemak dalam hidangan.

“Selain itu, menggalakkan jemaah berpuasa sunat dan memperkenalkan budaya waktu makan yang baharu dengan mengubah waktu jamuan di masjid dan surau daripada selepas solat isyak kepada sebelum solat maghrib,” titah baginda lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button