Masjid sumbangan rakyat Malaysia musnah dibedil rejim Israel
CYBERJAYA – Sebuah masjid di Tebing Gaza, Palestin yang dibina menerusi sumbangan rakyat Malaysia dilaporkan musnah dibedil rejim Israel.
Menurut Muslim Care Malaysia (MCM), Masjid Muhammad Al-Amin yang siap dibina pada penghujung 2013 itu musnah sepenuhnya dan tidak lagi boleh digunakan.
“Retak hati berkeping-keping melihat masjid yang tersergam indah hasil dana rakyat Malaysia pecah berderai kesan serangan bom oleh Zionis lsrael.
“Penghujung 2013, kami mencipta sejarah apabila berjaya membina sebuah masjid luas dan cantik, malangnya semua hasil usaha dan sumbangan rakyat Malaysia, hari ini, 7 Oktober 2023, Masjid Muhammad Al Amin musnah keseluruhannya,” kata badan bukan kerajaan (NGO) tersebut dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Pada Sabtu, Hamas melancarkan Operasi Banjiri al-Aqsa (al-Aqsa Flood) yang disertai rakyat Palestin sebagai mesej mempertahankan diri dan menjaga kedaulatan tanah air selain membalas penindasan serta keganasan yang dilakukan rejim Zionis sejak hampir satu abad.
Sebagai tindakbalas, rejim Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Gaza termasuk sasaran awam.
Bagaimanapun, MCM menjelaskan, perkara sebegitu tidak memudarkan semangat dan jihad orang Islam.
“Sebagaimana kuatnya jiwa pejuang saudara kita di Palestin, begitu jugalah teguhnya hati-hati kita semua akan terus bersatu,” kata MCM lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








