Insiden kecurian kabel akibatkan kelewatan tren KTMB
KUALA LUMPUR – Insiden kecurian kabel sistem semboyan dan komunikasi di tiga laluan utara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semalam telah mengakibatkan kelewatan tren melebihi 60 minit bagi perkhidmatan Komuter Utara dan tren elektrik (ETS).
Menurut KTMB, antara lokasi yang terkesan ialah laluan Tapah Road – Sungkai (KM250.5) dengan anggaran kecurian paling ketara iaitu sekitar 200 meter, diikuti kawasan Kamunting – Bukit Merah – Bagan Serai (KM87.25) sepanjang 110 meter, serta kawasan Simpang Ampat – Bukit Mertajam (KM15.5) melibatkan 40 meter kabel.
Akibat daripada insiden itu, ia telah menjejaskan operasi tren yang mengakibatkan kelewatan ketara antara 80 hingga 115 minit membabitkan EP9172 (KL Sentral – Butterworth), EG9321 (Butterworth – Segamat), EX9107 (Butterworth – KL Sentral), EX9207 (Padang Besar – KL Sentral) dan EG9420 (Segamat – Padang Besar).
Menurut KTMB lagi, perkhidmatan KTM Komuter Utara laluan Ipoh – Butterworth – Ipoh turut terganggu dengan purata kelewatan 30 minit.
Sebagai langkah awal, KTMB berkata, pemakluman telah dibuat kepada penumpang menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan platform media sosial rasmi KTMB.
Baca juga : Kerja naik taraf jejas operasi tren, KTMB tawar diskaun 50 peratus
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha, berkata dari Januari sehingga Mei tahun ini, kecurian kabel telah mencatatkan hampir 45 kes di sektor Utara.
“Kecurian sebegini merupakan satu bentuk sabotaj terhadap infrastruktur rel yang boleh mengancam keselamatan ratusan penumpang serta melumpuhkan sistem pengangkutan awam,” tegasnya.
Beliau berkata, bagi langkah mitigasi, KTMB akan menambahbaik rangkaian sistem persemboyanan dengan anggaran kos sebanyak RM12.8 juta setahun dalam tempoh tiga tahun yang lebih tertumpu kepada kawasan titik panas.
Selain itu, pemasangan penutup manhole dengan mekanisma kunci keselamatan khas di hampir 21 lokasi turut dilaksanakan selain daripada menambah infrastruktur pemantauan dan pencegahan termasuk kamera litar tertutup (CCTV), dron dan memasang pagar keselamatan anti-panjat.
Pemantauan dan pengawasan oleh anggota Polis Bantuan KTMB dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan turut dipertingkatkan di kawasan titik panas dalam menangani kes kecurian ini.
KTMB menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah ini.
“KTMB juga memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para penumpang dan terus komited memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan tren demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.
Untuk rekod, KTMB memaklumkan di sektor utara sahaja, kerugian akibat kecurian kabel mencecah RM1.28 juta pada tahun 2024, dan RM162,000 lagi setakat Mac 2025, menjadikan jumlah keseluruhan RM1.44 juta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







