Struktur pembinaan jatuh atas landasan jejas operasi KTM Komuter, ETS
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) mengalami gangguan hari ini selepas struktur pembinaan sebuah jambatan terjatuh ke atas landasan sehingga merosakkan sistem bekalan elektrik di laluan Batang Benar–Labu, Negeri Sembilan.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian itu berlaku ketika kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kerja pembinaan bagi projek wayleave tanpa memperoleh kelulusan kerja daripada KTMB.
Menurut KTMB, struktur kayu dari tapak pembinaan telah terjatuh ke atas landasan dan menghempap sistem talian elektrik atas (overhead line) di antara laluan Batang Benar dan Labu.
“Insiden tersebut menyebabkan kerosakan pada sistem bekalan elektrik sekali gus menjejaskan operasi tren di laluan berkenaan,” kata kenyatan tersebut.
Tambahnya, pasukan teknikal sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan sistem yang terjejas.
Susulan kejadian itu, perkhidmatan KTM Komuter dari Pulau Sebang ke KL Sentral ditamatkan di Stesen Seremban, manakala tren ke arah KL Sentral dan Batu Caves hanya beroperasi bermula dari Stesen Bangi.
Bagi mengurangkan kesulitan penumpang, KTMB menyediakan tiga bas perantara yang beroperasi antara Stesen Seremban, Tiroi, Batang Benar, Labu dan Bangi.
Pada masa sama, tiada perkhidmatan KTM Komuter disediakan di antara Stesen Bangi dan Stesen Seremban sehingga dimaklumkan kelak.
“Penumpang yang menggunakan laluan terjejas disarankan mendapatkan pengangkutan alternatif bagi meneruskan perjalanan,” katanya.
Bagi perkhidmatan ETS pula, KTMB menyediakan tujuh bas perantara di Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang dan Seremban bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
KTMB turut memaklumkan bahawa penumpang ETS yang memilih untuk membatalkan perjalanan dari stesen asal layak menerima pemulangan tambang sepenuhnya.
Menurut syarikat itu, usaha membaik pulih sistem talian elektrik atas sedang dipergiat bagi memastikan operasi KTM Komuter dan ETS dapat dipulihkan secepat mungkin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















