Polis Bantuan KTMB tahan suspek curi kabel sepanjang 43 meter di Laluan Padang Rengas-Kamunting
TAIPING – Tindakan pantas anggota Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menggagalkan cubaan mencuri kabel apabila seorang lelaki ditahan di Kilometer (KM) 95.75, sektor Padang Rengas-Kamunting, awal pagi tadi.
Suspek ditahan oleh anggota Polis Bantuan Cawangan Taiping yang sedang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) secara berkala di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti kecurian kabel.
Menurut KTMB dalam satu kenyataan, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian membawa kepada penemuan dan rampasan kabel yang dipercayai milik Jabatan Semboyan KTMB.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut telah menyebabkan gangguan terhadap sistem semboyan serta operasi landasan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Semboyan KTMB mengesahkan kira-kira 43 meter kabel telah dipotong,” katanya.

KTMB memaklumkan bahawa kegiatan kecurian kabel bukan sahaja mengakibatkan kerugian material, malah berpotensi menjejaskan aspek keselamatan operasi tren serta kelancaran perkhidmatan rel yang digunakan oleh orang ramai.
Suspek kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, KTMB menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk pencerobohan, vandalisme dan kecurian yang melibatkan aset serta infrastruktur rel negara.
Sehubungan itu katanya, usaha memperkukuhkan rondaan keselamatan akan terus dipertingkatkan menerusi kerjasama bersepadu antara Polis Bantuan KTMB dan agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan operasi tren serta orang awam.
KTMB turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan supaya menyalurkan maklumat kepada Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-22631194 yang beroperasi 24 jam atau menghubungi PDRM bagi tindakan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















