KTMB umum pelantikan Azlan Shah sebagai CEO Kumpulan
KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Azlan Shah Al Bakri sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan yang baharu, berkuat kuasa 12 Januari.
Azlan Shah sebelum ini berkhidmat selama tujuh tahun sebagai ketua pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Kementerian Pengangkutan.
Beliau membawa pengalaman luas dalam ekosistem pengangkutan awam, khususnya dalam sektor rel, dengan kepakaran merangkumi aspek peraturan, perancangan perkhidmatan serta penyelarasan inisiatif pengangkutan awam di peringkat kebangsaan.
Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan rekod kepimpinan Azlan Shah yang terbukti serta pengalaman luasnya dalam sektor pengangkutan awam.
“KTMB yakin beliau mampu memacu syarikat ke arah pencapaian yang lebih tinggi melalui pendekatan yang menekankan tadbir urus yang baik, daya saing operasi dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan,” katanya.
Sebelum menceburi sektor pengangkutan awam, Azlan Shah membina kerjayanya dalam sektor korporat dan kewangan, dengan memberi tumpuan kepada operasi, pengurusan risiko dan kawalan dalaman.
Azlan Shah merupakan lulusan ijazah perakaunan dari University of Portsmouth di United Kingdom serta ijazah sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dalam bidang kewangan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








