JAKIM seru umat Islam budayakan trend mengaji di mana-mana
KUALA LUMPUR – “Kita selalu melihat orang tidak segan menyanyi di ruang awam, jadi mengapa tidak kita budayakan ‘trend’ mengaji Al-Quran di mana-mana?”
Demikian seruan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee yang mahu umat Islam di Malaysia membudayakan Al-Quran bukan sekadar sebagai acara atau pertandingan, tetapi sebagai amalan harian yang hidup dan berakar umbi dalam masyarakat.
Dr Sirajudin berkata sedemikian ketika melancarkan inisiatif unik bertajuk ‘Al-Quran Di Mana-Mana’@ETS yang berlangsung di KL Sentral semalam.

Ia merupakan sebahagian kempen promosi menjelang Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 yang bakal berlangsung pada 2 hingga 9 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Sebagai simbolik pelancaran, seramai 100 orang huffaz daripada Darul Quran JAKIM akan menyemarakkan misi dakwah dengan membaca Al-Quran sepanjang perjalanan menaiki kereta api dari KL ke Hatyai, Thailand disertai pengisian tadabbur Al-Quran di stesen-stesen terpilih.
“Gelombang ‘Subuh Macam Jumaat’ telah kita mulakan sebelum ini. Kini, kita cetuskan gelombang baharu iaitu Al-Quran Di Mana-Mana agar kalam Allah menjadi teman setia, bukan hanya di rumah atau masjid, tetapi juga dalam setiap detik kehidupan termasuk di dalam pengangkutan awam,” kata beliau.
Inisiatif tersebut turut memperluas misi dakwah merentas sempadan apabila JAKIM menjadualkan program komuniti bersama Pusat Islam Hatyai, komuniti Muslim tempatan, institusi pengajian Islam dan masjid-masjid di wilayah selatan Thailand itu.
Dalam pada itu, Dr Sirajuddin turut merakamkan penghargaan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bertindak sebagai Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM serta semua ahli SDK lain yang terus menyokong usaha dakwah berimpak tinggi ini.

“Tidak dilupakan kepada agensi-agensi di bawah Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti TV AlHijrah, IKIM serta pertubuhan bukan kerajaan dan rakan strategik yang sentiasa memberi sokongan dalam menyemarakkan budaya Quranik,” tambah beliau.
JAKIM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyahut seruan ini dengan menghidupkan bacaan Al-Quran di mana-mana ruang seperti pejabat, stesen, taman dan pengangkutan awam agar masyarakat kembali menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan sumber ketenangan sebenar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








