Lelaki terkena renjatan elektrik ketika cuba curi kabel KTMB
KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki mencuri kabel berhampiran landasan kereta api mengundang padah apabila dia terkena renjatan elektrik berkuasa tinggi sehingga menyebabkan gangguan operasi tren di utara Semenanjung pagi semalam.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, kejadian berlaku pada pukul 6.08 pagi di bawah sebuah jambatan berhampiran landasan kereta api, mengakibatkan gangguan bekalan kuasa di laluan antara Tasek Gelugor dan Sungai Petani pada Kilometer 32.500.
Menurut KTMB, siasatan awal mendapati gangguan bekalan elektrik atau tripping itu berpunca daripada tindakan individu berkenaan yang menceroboh kawasan infrastruktur rel untuk mencuri kabel.
“Bagaimanapun, tindakan tersebut menyebabkan individu terbabit terkena renjatan elektrik 25 kilovolt (kV) atau fenomena flashover ketika menggunakan peralatan yang tidak sesuai berhampiran sistem bekalan kuasa landasan,” menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
KTMB menegaskan bahawa perbuatan menceroboh kawasan rel dan mencuri komponen infrastruktur kereta api bukan sahaja merupakan kesalahan serius, malah boleh mengundang risiko kemalangan serta mengancam nyawa.
Menurut syarikat itu, sistem bekalan kuasa yang digunakan bagi operasi tren elektrik membawa voltan tinggi yang mampu menyebabkan kecederaan serius atau kematian dalam sekelip mata.
“Justeru, orang ramai diingatkan bahawa kawasan infrastruktur rel bukan tempat untuk diceroboh atau dijadikan sasaran kegiatan jenayah,” katanya.
Dalam pada itu, KTMB memaklumkan bahawa perbuatan menceroboh, merosakkan atau mencuri harta benda kereta api boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








