BERITA SEMASAPMX

Sejahtera MADANI 2025 sasar tingkat kesejahteraan golongan miskin di seluruh negara

PUTRAJAYA – Inisiatif Sejahtera MADANI 2025 yang dilancarkan hari ini mempunyai tujuan untuk meningkatkan kesejahteraan isi rumah miskin dan miskin tegar di seluruh negara.

Inisiatif yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini itu diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan menyasarkan penerima yang berdaftar dalam pangkalan data kebangsaan eKasih.

Menurut ICU dalam satu kenyataan hari ini, Sejahtera MADANI merupakan inisiatif berlandaskan strategi keseluruhan negara (whole of nation) itu mempunyai empat elemen campur tangan (intervention) iaitu penjanaan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.

Katanya, ia menggabungkan pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil dalam satu pendekatan bersepadu untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

Menerusi program berkenaan, kerajaan berhasrat menyediakan sokongan berimpak tinggi dan mampan kepada ketua isi rumah eKasih serta ahli keluarga mereka.

Sebanyak RM100 juta dijangka disalurkan ke Tabung Kesejahteraan Rakyat di bawah pengurusan ICU melalui sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Semua sumbangan kepada tabung ini layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, seperti yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Sehingga 15 Julai, seramai 306,403 ketua isi rumah telah berdaftar dalam eKasih di seluruh negara, merangkumi 1,017 isi rumah miskin tegar dan 305,386 isi rumah miskin.

Kerajaan menyasarkan pengurangan kadar kemiskinan negara sebanyak 33 peratus tahun ini sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk membasmi kemiskinan tegar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button