PETRONAS mula kerja cari gali gas di Turkmenistan seawal Disember – PM
KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penerokaan dan penggerudian di blok gas utama di Turkmenistan yang diperoleh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dijangka bermula seawal Disember ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu disifatkan antara yang paling pantas pernah direkodkan memandangkan kebiasaannya kerja penggerudian hanya bermula selepas tempoh antara satu setengah hingga dua tahun.
“Ini antara yang paling pantas pernah berlaku. Kebiasaannya jangkaan ialah antara satu setengah hingga dua tahun sebelum kerja penggerudian bermula,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai penilaian kerajaan terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz terhadap kestabilan politik dan ekonomi Malaysia serta langkah yang diambil bagi mengurangkan impaknya.
Anwar berkata, pembangunan projek berkenaan dijangka meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang memiliki pegangan gas terbesar di dunia.
Menurut beliau, perkembangan itu merupakan berita yang amat baik kepada negara, khususnya Petronas.
Beliau berkata, usaha mempelbagaikan sumber bekalan merupakan antara strategi utama kerajaan bagi memperkukuh keselamatan tenaga negara.
“Strategi itu dilaksanakan seiring jaminan bekalan jangka panjang diesel dan minyak yang diperoleh daripada Rusia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, bekalan petroleum negara ketika ini masih mencukupi, manakala kosnya kekal terkawal menerusi beberapa langkah yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








