Enam termasuk tiga remaja ditahan, rancang serangan terhadap balai polis
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam individu termasuk tiga remaja bawah umur yang disyaki merancang serangan terhadap balai polis dan beberapa fasiliti kerajaan.
Kesemua suspek lelaki berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu pada 14 serta 15 Februari lalu oleh Bahagian Cawangan Khas PDRM.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, mereka dipercayai terlibat menyokong kumpulan pengganas Islamic State (IS) melalui penyebaran ideologi radikal, usaha merekrut ahli baharu serta mempromosikan propaganda ekstremis secara dalam talian.

Menurutnya, siasatan turut menemukan perkembangan membimbangkan apabila proses radikalisasi suspek bermula sejak usia remaja melalui platform digital termasuk permainan dalam talian yang popular seperti Roblox.
“Modus operandi pembentukan pemikiran radikal ini bermula daripada kecenderungan melayari kandungan media sosial berkaitan peperangan dan krisis geopolitik di Asia Barat.
“Lebih mengejutkan, permainan dalam talian khususnya Roblox turut menjadi medium yang mempengaruhi pemikiran suspek ke arah fahaman radikal,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata, suspek juga didapati menubuhkan serta menyertai kumpulan sembang pro-IS di beberapa platform seperti WhatsApp, Telegram dan Discord.
Katanya, pendedahan berterusan kepada kandungan ekstrem dalam talian boleh memberi kesan serius terhadap mental golongan muda dan berpotensi mendorong tindakan agresif yang mengancam keselamatan awam.
“Siasatan lanjut mendapati suspek bukan sahaja telah melafazkan ikrar taat setia (baiah) kepada pemimpin IS, malah merancang untuk melancarkan serangan terhadap balai polis, fasiliti penting kerajaan serta kemudahan awam,” katanya memetik laporan Metro Online.
Hasil pemeriksaan dan penggeledahan yang dijalankan, polis merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan aktiviti ekstremis termasuk 11 unit telefon pintar, dua komputer riba dan sebuah cakera keras luaran.
Turut dirampas empat bendera IS, sehelai baju berlogo kumpulan itu serta tiga naskhah buku berunsur ekstremis.
Mohd Khalid berkata, kesemua tangkapan dibuat mengikut peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menurutnya, kes disiasat di bawah Bab 6A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan keganasan termasuk Seksyen 130J iaitu mempromosi kumpulan pengganas atau mengaku sebagai ahli kumpulan pengganas serta Seksyen 130JB iaitu memiliki, menyediakan, memaparkan atau mengedar bahan berkaitan kumpulan pengganas.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan identiti dan masa depan tiga suspek kanak-kanak akan dilindungi selaras dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dan pergaulan anak-anak termasuk di platform dalam talian bagi mengelakkan mereka terdedah kepada elemen keganasan.
“Setakat ini, tahap keselamatan negara kekal aman dan terkawal walaupun wujud pergolakan geopolitik antarabangsa, dengan pihak polis terus memperkukuh pemantauan dan risikan secara proaktif,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







