BERITA SEMASA

UK sedia teroka kerjasama dalam pelbagai bidang pendidikan tinggi – Zambry

PUTRAJAYA – United Kingdom (UK) sedia meneroka peluang kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk pemindahan teknologi, pembangunan kurikulum bersama, pertukaran pelajar dan tenaga pengajar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerjasama lain termasuk program latihan kemahiran khusus dalam bidang masa depan seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Zambry berkata, kesediaan itu dinyatakan Menteri Kemahiran UK, Baroness Jacqui Smith ketika kunjungan hormat beliau di Putrajaya, hari ini.

“Pertemuan dua hala ini membuka ruang perbincangan yang konstruktif ke arah memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan United Kingdom dalam bidang pendidikan tinggi dan pembangunan kemahiran.

“Saya berkongsi bahawa Malaysia kini mempunyai 36 politeknik dan 105 kolej komuniti yang berperanan penting dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Institusi-institusi ini bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah sedang giat memperluas pelaksanaan pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) serta memperkukuh hubungan dengan industri tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Zambry berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Beliau kemudian turut menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama itu akan membuka lebih banyak peluang mobiliti dan inovasi pendidikan sekali gus mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan yang lebih kompeten dan berdaya saing di peringkat global.

Beliau berkata ini juga menunjukkan bahawa negara luar semakin mengiktiraf Malaysia sebagai antara hab pendidikan tinggi terbaik di rantau ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button