KPT komited perkukuh agenda keterjaminan makanan negara
SERDANG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara melalui mobilisasi kepakaran institusi pendidikan tinggi, penyelidikan berimpak tinggi dan kerjasama erat dengan industri.
Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, pelaksanaan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022–2025 serta pelan baharu Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 merupakan satu sokongan terhadap Dasar Agromakanan Negara 2.0, selari dengan matlamat ‘Kelaparan Sifar’ yang digariskan oleh Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) UNESCO.
“Terdapat tiga strategi utama bagi universiti dalam menyokong dasar ini, iaitu penyelidikan berorientasikan penyelesaian, pembangunan sumber manusia dalam ekosistem pertanian moden serta perluasan pembiayaan melalui sektor swasta.
Antara inisiatif signifikan yang diketengahkan termasuk Blueprint Keterjaminan Makanan yang diterajui oleh UPM dan penubuhan Nexus Keterjaminan Makanan bagi menyatukan IPT yang menjalankan penyelidikan berkaitan bagi menangani isu sekuriti makanan secara bersepadu,” kata beliau.
Dr. Anesee berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya dalam Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025 (PKMK 2025) di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini semalam.
Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Dr Anesee turut menekankan keperluan untuk menarik minat belia ke dalam sektor pertanian melalui pendekatan pertanian pintar dan penggunaan teknologi seperti automasi dan Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti sektor ini.
“Sehubungan itu, saya ingin menyeru sektor industri supaya terus menyokong penyelidikan institusi pendidikan tinggi melalui pembiayaan dan tajaan pelajar penyelidikan serta menyerap bakat muda sebagai pelapis masa depan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








