BERITA SEMASA

Keluarga CJ serah permohonan MyKad kepada JPN

PUTRAJAYA – Keluarga seorang remaja berusia 17 tahun yang dikenali sebagai CJ hari ini menyerahkan borang permohonan kad pengenalan (MyKad) kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengesahkan status remaja itu sebagai warganegara Malaysia.

@malaysiatribuneSelepas 17 tahun menunggu pengiktirafan, remaja dikenali sebagai CJ akhirnya melangkah ke fasa baharu hidupnya apabila permohonan MyKadnya diterima secara rasmi hari ini. Menurut peguam N. Surendren, langkah itu selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan mengeluarkan kad pengenalan dalam tempoh 30 hari satu sinar harapan buat CJ dan ramai lagi yang senasib dengannya. #malaysiatribune #beritasemasa #trendingnewsmalaysia #mykad #mahkmah

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Peguam keluarga, N. Surendran berkata, penyerahan borang tersebut dibuat selaras dengan perintah mahkamah yang memberi hak kepada CJ untuk memohon dan menerima MyKad biru sebagai dokumen pengenalan diri rasmi.

“Mahkamah telah memutuskan bahawa CJ ialah warganegara Malaysia.

“Dia berhak sepenuhnya untuk memohon serta menerima MyKad biru.

“Hari ini, permohonan itu telah dikemukakan dan diterima oleh pihak JPN,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JPN di sini hari ini.

Menurut beliau, satu lagi perintah mahkamah turut mengarahkan supaya MyKad berkenaan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh permohonan dibuat.

Surendran berkata, perkembangan itu membuka lembaran baharu buat CJ untuk menjalani kehidupan seperti remaja lain, khususnya dalam aspek pendidikan, termasuk peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti serta menikmati hak sepenuhnya sebagai warganegara.

Beliau turut berkata, walaupun terdapat kekangan pada peringkat awal, pihak JPN akhirnya bersetuju menerima permohonan tersebut selepas penjelasan lanjut diberikan berhubung perintah mahkamah yang telah berkuat kuasa.

“Perkara ini sepatutnya dapat diselesaikan tanpa kesulitan berpanjangan. Proses pentadbiran perlu lebih cekap dan mesra rakyat, terutamanya apabila melibatkan kanak-kanak dan remaja,” katanya lagi.

Surendran berkata, kes CJ mencerminkan realiti yang dihadapi oleh sebahagian kanak-kanak lain di negara ini yang masih berdepan isu kewarganegaraan walaupun mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang.

“Tidak semua keluarga mempunyai keupayaan kewangan dan sumber untuk membawa kes ke mahkamah bagi mendapatkan pengesahan status anak mereka,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak JPN mematuhi sepenuhnya tempoh yang ditetapkan mahkamah bagi memastikan MyKad biru CJ dapat dikeluarkan dalam masa 30 hari seperti diarahkan.

“Ini merupakan satu langkah penting selepas perjuangan yang panjang. Kami berharap tiada lagi halangan birokrasi yang menjejaskan masa depan beliau,” katanya lagi.

Terdahulu, JPN pada Isnin memaklumkan bahawa pihaknya belum dapat meneruskan proses pengeluaran MyKad CJ berikutan masih belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap sehingga 12 Januari lalu.

Menurut jabatan itu, proses pembetulan serta pengesahan dokumen perlu dilaksanakan terlebih dahulu selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur pendaftaran yang berkuat kuasa sebelum sebarang dokumen pengenalan diri boleh dikeluarkan.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan tempoh 30 hari kepada JPN dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, untuk mengeluarkan MyKad biru kepada remaja terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button