BERITA SEMASA

JPN teliti cadangan penyelesaian isu dua kerakyatan tanpa tindakan penguatkuasaan

BACHOK – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang menilai cadangan untuk memberi peluang kepada individu yang memiliki dua kerakyatan tampil menyerahkan salah satu dokumen pengenalan secara sukarela tanpa dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, meskipun pihaknya belum mempunyai data rasmi berhubung jumlah rakyat yang memegang dua kewarganegaraan termasuk penduduk di kawasan sempadan namun idea itu wajar dipertimbangkan sebagai langkah penyelesaian.

“Ada cadangan supaya mereka yang mempunyai dua kewarganegaraan tampil secara sukarela menyerahkan dokumen pengenalan tanpa tindakan. Idea itu boleh dipertimbangkan.

“Bagi yang mempunyai dua kewarganegaraan seperti Malaysia dan Thailand, mereka boleh tampil secara sukarela untuk melucutkan satu kerakyatan.

“Mereka akan dirujuk kepada jawatankuasa dan diberi pilihan sama ada mahu menjadi rakyat Malaysia atau Thailand.

“Tiada tindakan seperti ditangkap dan sebagainya, hanya dilucutkan salah satu kewarganegaraan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi penyerahan dokumen pengenalan diri di Kampung Keting, di sini hari ini.

Menurut Badrul Hisham, setakat ini tiada perbincangan rasmi diadakan dengan pihak Thailand mengenai isu dua kerakyatan namun perkara itu pernah disentuh pada Disember lalu ketika kawalan sempadan diperketat.

Sebelum ini, laporan memaklumkan bahawa masih ramai penduduk di sempadan Kelantan-Thailand memiliki dua kerakyatan khususnya individu yang mempunyai pertalian keluarga dengan warga negara jiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button