Integrasi sistem MyKad–MOF dilaksana elak tuntutan palsu – Saifuddin
PUTRAJAYA – Sistem pengurusan MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini diintegrasikan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi mengelakkan penyalahgunaan data selepas kehilangan kad pengenalan dilaporkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil selepas dikesan wujud penyalahgunaan identiti apabila MyKad yang hilang digunakan untuk membuat tuntutan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau menjelaskan, setiap kali kehilangan MyKad dilaporkan, JPN akan segera menyahaktifkan kad tersebut dalam sistem sedia ada.
Walau bagaimanapun, penyelarasan dengan sistem SARA di bawah MOF sebelum ini tidak berlaku menyebabkan kad yang sudah dinyahaktifkan masih boleh digunakan.
“Jadi, kita perlu selaraskan terlebih dahulu supaya kedua-dua sistem boleh berkomunikasi antara satu sama lain. Bila perkara itu tidak berlaku, MyKad yang hilang masih boleh digunakan.
“Kami telah mengesan lokasi MyKad yang hilang ini dan mengambil semua langkah perlu termasuk menyahaktifkan sebahagian daripadanya. Kali ini, MOF juga akan mempunyai akses kepada sistem berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi di Ibu Pejabat JPN di sini, hari ini susulan pengumuman pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) hujung bulan ini.
Menurut Saifuddin, proses penyahaktifan MyKad sebelum ini tidak membabitkan perkongsian data sepenuhnya kerana melibatkan maklumat peribadi yang sensitif.
“Namun kerana insiden ini berlaku, walaupun jumlahnya kecil iaitu kira-kira 100 daripada 80 juta, ia tetap sedang berlaku.
“Maka langkah baharu yang diambil ialah MyKad yang dinyahaktifkan akan berkomunikasi terus dengan sistem MOF supaya penggunaannya dapat dihadkan daripada disalahgunakan untuk tujuan lain.
“Ini pengajaran penting yang kita pelajari daripada SARA dan akan diaplikasikan kepada inisiatif BUDI95,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









2 Comments