MyKad rosak cip boleh ditukar percuma mulai esok hingga 7 Oktober
KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh menukar cip MyKad yang rosak secara percuma bermula esok sehingga 7 Oktober ini di semua kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu melibatkan perbelanjaan dianggarkan RM714,660 termasuk kos sokongan lain yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Kerajaan MADANI prihatin dengan masalah rakyat. Subsidi tidak wajar terhalang hanya kerana kerosakan teknikal pada MyKad.
“Justeru, kos penggantian cip rosak ini ditanggung sepenuhnya agar rakyat dapat terus menikmati manfaat BUDI95 dengan lancar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri rasmi, malah menjadi kunci akses kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar.
Mengikut rekod JPN, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad rosak direkodkan dari Januari hingga Ogos tahun ini. Permohonan juga mencatat peningkatan ketara sejak tiga bulan lalu – 32,819 pada Jun, 40,371 pada Julai dan melonjak kepada 45,411 pada Ogos.
“Bagi bulan September pula, sehingga 21 haribulan, sebanyak 22,858 permohonan diterima.
“Berdasarkan rekod dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak adalah sekitar 43,000 sebulan,” katanya.
Saifuddin berkata, jumlah berkenaan menunjukkan keperluan mendesak kerajaan memperkenalkan langkah proaktif bagi meringankan beban rakyat serta memastikan kelancaran pelaksanaan subsidi BUDI95.
“Justeru, kerajaan berharap orang ramai mengambil peluang ini untuk menukar cip MyKad yang rosak dalam tempoh ditetapkan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







