BERITA SEMASA

Rakyat perlu bersedia hadapi krisis tenaga global – Saifudin Nasution

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan krisis tenaga global susulan kesan berpanjangan konflik di Asia Barat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun bekalan tenaga negara bagi tempoh April hingga Jun dilaporkan mencukupi, kerajaan tidak mahu rakyat mengambil sikap terlalu selesa memandangkan situasi konflik yang berterusan berpotensi menjejaskan bekalan dan meningkatkan kos sara hidup pada masa hadapan.

“Kita belum merasai kesannya kerana bekalan untuk April, Mei dan Jun dilaporkan mencukupi. Namun, jika konflik itu berterusan, kita perlu menjangkakan keadaan yang lebih sukar.

“Cabaran kepada kerajaan khususnya dari segi komunikasi adalah untuk mempersiapkan rakyat menerima hakikat bahawa kesan tersebut mungkin akan dirasai, namun dalam masa sama kita tidak mahu rakyat panik atau terlalu selesa,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman serta Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Saifuddin, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pelbagai langkah awal telah diambil bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, termasuk usaha mengekang kenaikan harga barang serta menjamin kelangsungan bekalan keperluan asas.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi tumpuan kepada kestabilan ekonomi negara dan memilih pendekatan komunikasi yang telus dengan rakyat mengenai cabaran semasa, khususnya berkaitan isu bekalan dan kemungkinan peningkatan harga.

“Kerajaan akan terus berterus terang dengan rakyat tentang apa yang sedang berlaku supaya mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut menekankan keperluan penambahbaikan segera terhadap kemudahan asas bagi anggota keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan.

Beliau berkata, hasil lawatan ke beberapa lokasi mendapati keadaan fasiliti sedia ada masih tidak memuaskan dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselesaan serta kebajikan anggota terjamin.

“Saya melihat sendiri keadaan tempat bertugas anggota di lapangan. Tempat berlindung mereka tidak begitu memuaskan, malah ada yang kelihatan seperti stor burger.

“Saya minta supaya penambahbaikan segera dilaksanakan agar mereka mempunyai kemudahan yang lebih selesa dan presentable,” katanya.

Menurut beliau, usaha menaik taraf kemudahan tersebut boleh dilaksanakan dengan segera tanpa melibatkan kos yang besar khususnya bagi pos kawalan di kawasan sempadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button