PRN Sabah: Tarikh pembubaran DUN, pembuangan undi tular di media sosial palsu – SPR
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan poster yang tular memaparkan tarikh-tarikh penting melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 adalah palsu dan tidak benar sama sekali.
Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, sehingga kini, tiada sebarang pengumuman rasmi telah dibuat oleh SPR berkenaan pembubaran DUN Sabah mahupun penetapan tarikh-tarikh penting bagi PRU tersebut.
“Pihak SPR juga ingin menegaskan bahawa maklumat mengenai pilihan raya termasuk tarikh-tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari mengundi hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR iaitu laman portal rasmi SPR, sidang media dan kenyataan media.
“Penyebaran maklumat palsu seumpama ini merupakan suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang didapati menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan.
“SPR menyeru orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat yang tidak sahih.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih hanya daripada saluran rasmi SPR,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







