AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Edisi terhad Casa Lambretta X300 dilancar di Malaysia, cipta rekod perhimpunan di SIC

SEPANG – Lambretta Malaysia mengukir sejarah baharu dalam segmen skuter dengan pelancaran edisi terhad Casa Lambretta X300 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), Ahad lalu yang turut direkodkan sebagai penganjuran acara komuniti skuter terbesar Asia di litar bertaraf Formula Satu (F1).

Majlis pelancaran oleh Bike Continent Sdn. Bhd itu diadakan di North Paddock SIC. Untuk rekod, hanya 999 buah unit dipasarkan ke seluruh dunia, dengan 99 unit dikhaskan untuk jualan di Malaysia.

Casa Lambretta X300 Limited Edition dibangunkan dengan kerjasama pasukan legenda Casa Lambretta Racing Team dan menampilkan identiti ‘Racing Spirit of Lambretta’, termasuk grafik perlumbaan khas, plat nombor ‘47’ sebagai simbol penubuhan Lambretta pada 1947 serta penggunaan komponen aero gentian karbon.

Lebih 800 penunggang Lambretta yang menyertai funride di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad lalu.

Model ini dikuasakan enjin Lambretta Super Performance (LSP) berkapasiti 275cc yang menawarkan prestasi moden tanpa menjejaskan karakter klasik Itali yang menjadi identiti jenama itu.

Pengarah Urusan Bike Continent Sdn. Bhd, Ronnie Chen berkata, selaku pengedar rasmi Lambretta dan bersempena acara penuh bersejarah, pihaknya menganjurkan perhimpunan terbesar pemilik Lambretta di SIC melibatkan penyertaan 818 orang.

“Bukan sahaja berhimpun, pertemuan kami hari ini juga memberi peluang kepada pemilik Lambretta menakluk litar Sepang yang ikonik sekaligus menandakan permulaan kukuh model koleksi itu di pasaran tempatan.

“Penyertaan mereka turut tercatat dalam Asia Records sebagai perarakan skuter di litar F1,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Mofaz Motosikal Sdn Bhd (MOMOS), Datuk Nik Izani Nik Ibrahim dan pemilik jenama Lambretta global, Walter Scheffrahn.

Penyertaan acara funride yang tercatat dalam Asia Records sebagai perarakan skuter di litar F1 terbesar di rantau ini.

Program tersebut menghimpunkan ratusan peminat Lambretta atau Lambrettisti, menampilkan gabungan skuter klasik yang dipulihkan serta model-model moden, sekali gus membuktikan daya tarikan Lambretta yang merentasi generasi.

Pengurus Besar Bike Continent Sdn. Bhd., Sterz Yap berkata, pelancaran itu merupakan detik bermakna buat komuniti Lambretta di Malaysia.

“Hari ini adalah impian setiap Lambrettista di Malaysia. Daripada penyerahan eksklusif Casa X300 hingga pencapaian rekod fun ride di Litar Sepang, ini bukan sekadar pelancaran skuter tetapi permulaan satu gerakan besar komuniti,” katanya.

Sementara itu, Walter Scheffrahn berkata, Casa Lambretta X300 melambangkan gabungan sempurna antara legasi perlumbaan dan visi masa depan jenama tersebut.

“Tahap sokongan dan semangat luar biasa di Asia membuktikan Lambretta kekal sebagai ikon gaya, kebebasan dan semangat di peringkat global,” katanya.

Model edisi terhad Casa Lambretta yang dikeluarkan hanya 999 unit di seluruh dunia.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button