LUAR NEGARA

Nahas kereta api Bangkok: Polis tahan pemandu bas, pemandu kereta api

BANGKOK – Polis Bangkok menahan pemandu bas penumpang serta pemandu kereta api kargo atas tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian dalam insiden rempuhan, semalam

Menurut The Bangkok Post, individu yang ditahan itu dikenal pasti sebagai pemandu bas, Sayomporn Suankul, 46, dan Lapit Thongboon, 56 yang mengendalikan kereta api kargo Laem Chabang-Bang Sue.

Semalam, nahas dilaporkan berlaku di lintasan rata Jalan Asok-Din Daeng di daerah Huai Khwang, pada pukul 3.41 petang.

Kereta api kargo berkenaan merempuh bas penumpang yang ketika itu sedang berhenti di atas landasan akibat kesesakan lalu lintas berhampiran lampu isyarat.

Impak rempuhan itu menyebabkan bas terbabit terbakar, mengorbankan lapan nyawa serta mencederakan 32 yang lain, selain turut merosakkan beberapa kenderaan berhampiran.

Sementara itu, Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt memaklumkan, palang penghadang tidak dapat diturunkan ketika kejadian berikutan terdapat kenderaan yang terperangkap di atas lintasan berkenaan.

Mengikut undang-undang, kenderaan dilarang sama sekali daripada berhenti di atas lintasan kereta api serta dalam lingkungan radius lima meter dari kawasan berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul ketika meninjau lokasi kejadian mempersoalkan tindakan kakitangan kereta api yang gagal memberi amaran awal kepada pemandu kereta api mengenai sekatan lalu lintas di lintasan itu.

Katanya, laluan di sektor berkenaan sememangnya terkenal dengan masalah kesesakan lalu lintas yang kronik.

Kawasan kejadian turut dipenuhi dengan jambangan bunga yang diletakkan oleh orang ramai sebagai tanda penghormatan dan berkabung buat mangsa yang terkorban.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button