Polis buru 2 suspek bersenjatakan parang samun kedai serbaneka
NILAI – Polis sedang giat memburu dua suspek berhubung kejadian samun bersenjata yang berlaku di Melati Square, di sini, awal pagi semalam.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang suspek yang memakai jaket berwarna kelabu dilihat beberapa kali mengacukan parang ke arah kaunter, sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM600.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Johari Yahya berkata, dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, kedua suspek memakai jaket dan bertopi keledar serta menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 warna ungu.
“Pada 3.30 pagi semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima satu laporan polis berkaitan kejadian samun bersenjata yang berlaku di sebuah premis serbaneka di kawasan Melati Square.
“Dalam kejadian ini, dua suspek lelaki warga tempatan dipercayai masuk ke premis dan mengugut pekerja menggunakan senjata sebelum melarikan wang tunai dari kaunter,” katanya hari ini.
Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek yang terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis menasihatkan orang ramai khususnya pengusaha premis perniagaan supaya sentiasa meningkatkan langkah keselamatan termasuk memastikan sistem CCTV berfungsi dengan baik serta sentiasa peka terhadap persekitaran.
“Pihak polis juga akan meningkatkan rondaan cegah jenayah di kawasan tumpuan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







