BERITA SEMASA

Permaisuri Agong seru graduan miliki ilmu, adab tinggi sebagai teladan

JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan titah bahawa para graduan bukan sahaja harus cemerlang dalam ilmu tetapi wajib menjunjung adab yang tinggi sebagai contoh kepada generasi muda dan masyarakat seluruhnya.

Titah Baginda, para graduan memikul amanah besar dalam membentuk masa depan negara melalui keperibadian diri, nilai dan tanggungjawab yang mereka tonjolkan kepada masyarakat.

Permaisuri Agong
Raja Zarith Sofiah bertitah ketika berangkat pada Majlis Konvokesyen Ke-69 UTM di Johor Bahru.

“Generasi yang sedang dibentuk sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di universiti bukan sahaja perlu diasuh dengan ilmu dan kemahiran tetapi mesti juga disemai dengan adab yang mulia,” titah Baginda ketika berangkat ke Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.

Raja Zarith Sofiah yang merupakan Canselor universiti tersebut menegaskan bahawa pendidikan adalah satu amanah yang tinggi nilainya dan tidak harus dilihat hanya sebagai laluan untuk memperoleh segulung ijazah.

“Pendidikan ialah amanah yang amat besar nilainya.

“Ia bukan sekadar satu perjalanan bagi memperoleh sesuatu ijazah tetapi merupakan juga satu proses yang membentuk peribadi, memperkukuh nilai serta memupuk rasa tanggungjawab dalam diri seseorang individu,” titah Baginda lagi dalam hantaran yang dikongsi melalui hantaran di media sosial Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Turut berangkat, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang merupakan Pro-Canselor UTM.

Dalam titah itu, Raja Zarith Sofiah turut memetik pandangan tokoh pemikir tersohor, Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menyatakan bahawa ‘adab bukan sekadar etika dan tatacara malah disiplin jasad akal dan roh’.

Baginda juga menzahirkan kebimbangan terhadap beberapa insiden yang menggemparkan negara sejak kebelakangan ini dan berharap agar ia dijadikan pengajaran bersama.

Justeru Baginda turut menyeru semua pihak agar berganding bahu untuk memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button