Raja Zarith Sofiah ilham kerjasama JCS–OCIS perkukuh pentadbiran Johor
OXFORD – Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (PTNJ/JCS) dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) sedang meneroka kerjasama baharu bagi mewujudkan satu program khas untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan keupayaan pegawai JCS dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Inisiatif itu diilhamkan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang menekankan keperluan melahirkan pegawai muda lebih dinamik dan berdaya saing, seiring aspirasi Kerajaan Negeri Johor untuk memperkukuh JCS sebagai teras pentadbiran negeri.

Menurut kenyataan kepada Royal Press Office (RPO), Baginda bertitah bahawa kerjasama dengan OCIS mampu membuka ruang pembelajaran baharu terutama dalam memahami kaedah pembuatan keputusan berdasarkan model pentadbiran berprestij seperti Whitehall di United Kingdom.
“Sejarah menunjukkan banyak aspek sistem pentadbiran kita disesuaikan daripada United Kingdom.
“Program kerjasama ini akan meningkatkan pengetahuan tentang amalan pembuatan keputusan dalam kerajaan seperti contoh di Whitehall yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan England.
“Ilmu ini akan membuka mata dan membantu JCS dalam merangka serta menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik untuk rakyat,” titah Raja Zarith Sofiah menerusi hantaran di Facebook Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengadakan lawatan ke OCIS di Oxford semalam bagi membincangkan ruang kerjasama lebih komprehensif antara institusi berkenaan dan PTNJ/JCS.
Selain itu, Baginda turut mencadangkan agar Pegawai Tadbir Agama Johor disertakan dalam program latihan bersama JCS memandangkan OCIS memberi penekanan kepada aplikasi ilmu pengetahuan Islam merentasi pelbagai bidang seperti ekonomi, pembangunan antarabangsa dan sejarah.
“Ini juga penting dan bermanfaat bagi pegawai berkenaan kerana OCIS menekankan aplikasi ilmu pengetahuan Islam dalam pelbagai bidang disiplin,” titah Baginda.
Keberangkatan Raja Permaisuri Agong disambut oleh Pengarah OCIS, Dr Farhan Ahmad Nizami.
Pusat kajian bertaraf antarabangsa itu ditubuhkan pada 1985 dan ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah yang dianggotai sarjana serta tokoh kenegaraan dari seluruh dunia. Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah merupakan Timbalan Pengerusi lembaga berkenaan.
Raja Zarith Sofiah turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman; Pengarah Akademi JCS, Datuk Dr Badrul Hisham Kassim; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Farid Mohd Khalid.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








