Permaisuri Agong berbuka puasa bersama PM, Jemaah Menteri dan perwakilan asing
KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan pegawai kanan kerajaan di Dewan Santapan Utama, Istana Negara, malam tadi.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda menyerikan majlis yang menghimpunkan barisan kepimpinan negara serta wakil diplomatik asing dalam suasana penuh harmoni sempena Ramadan.
Hadir sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Majlis berkenaan turut dihadiri perwakilan asing dari beberapa negara termasuk Yemen, Qatar, Bahrain, Mesir, Indonesia, Palestin, Brunei, Turkiye, Arab Saudi, Maldives, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Azerbaijan,” menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah bersama para tetamu jemputan di Surau Utama Istana Negara yang diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Sejurus selesai solat, baginda berangkat ke Dewan Santapan Utama bagi menyempurnakan majlis berbuka puasa bersama para tetamu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














