BERITA SEMASA

Keamanan asas kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat – MB Perak

IPOH – Keamanan dan kestabilan yang dinikmati sesebuah negeri perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat serta kelangsungan pembangunan negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keamanan yang dikecapi rakyat Malaysia hari ini merupakan satu nikmat besar yang tidak seharusnya dipandang ringan.

Menurutnya, sekiranya sesebuah negara dilanda peperangan, kekayaan dan kemakmuran yang dimiliki tidak lagi membawa makna kepada rakyat.

“Cuba kita bayangkan anak muda di Iran atau Palestin sekarang. Di mana mereka berbuka puasa? Yang pasti mereka berada dalam keadaan takut dan bimbang kerana negara mereka dilanda peperangan.

“Ada saudara, sahabat dan ahli keluarga yang ditembak mati. Malah ada yang sehingga kini tidak diketahui di mana jenazah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ringkas sebelum berbuka puasa bersama golongan muda pada Majlis Berbuka Puasa Anak Muda bersama Menteri Besar Perak di Dataran Bandaraya Ipoh, semalam.

Tambah Saarani, rakyat Malaysia seharusnya mensyukuri keamanan yang dinikmati dan menjadikannya sebagai pengajaran daripada musibah yang menimpa negara lain.

“Kita sebenarnya kumpulan yang bertuah. Namun apabila Allah menurunkan musibah kepada sesuatu umat, ia bukan sekadar untuk diperhatikan, sebaliknya menjadi teladan dan pengajaran.

“Sebab itu keamanan sebuah negara, negeri dan masyarakat sangat penting,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak turut mengingatkan bahawa keamanan atau konflik dalam masyarakat bergantung kepada pilihan manusia sendiri.

“Saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua, sama ada kita mahu perang, aman atau bergaduh, itu adalah pilihan kita.

“Orang Iran barangkali tidak mahu perang tetapi mereka diperangi Amerika Syarikat. Orang Palestin juga tidak mahu perang tetapi mereka diperangi Israel.

“Di Malaysia, tiada siapa yang mahu perang. Jadi janganlah kita berperang sesama sendiri,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button