BERITA SEMASA

Keamanan elemen asas kepada kemajuan negara – PM

IPOH – Keamanan yang dinikmati penduduk pelbagai kaum di Malaysia perlu dipelihara sebaiknya kerana ia merupakan elemen asas pada kemajuan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia adalah sebuah negara unik kerana mampu kekal aman dengan populasi lebih 34 juta penduduk yang merangkumi pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan.

Keunikan itu, katanya, dapat dilihat menerusi persembahan tarian dalam program sambutan perayaan yang dianjurkan apabila kepelbagaian budaya ditonjolkan sebagai simbol perpaduan, lapor BERNAMA.

“Kita mahu tunjuk kepada masyarakat kita, anak-anak kita bahawa masa depan kalau Malaysia mahu maju, senang cari makan, ekonomi naik, pendidikan tingkat lagi tinggi, hospital lebih baik, kita mesti jaga negara ini dengan aman.

“Nombor satu apa pun mesti aman, kalau kita gaduh, kita negeri kaya pun hancur. Jadi semangat Gong Xi Fa Cai, ini Tahun Kuda, maknanya tahun ini ‘ong’ (bertuah),” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina bersama Perdana Menteri di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa Kanthan Baru, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Dalam majlis sama, Anwar turut menyampaikan cek cura bernilai RM500,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertujuan melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan, naik taraf serta baik pulih kemudahan awam dan rumah di Kampung Baru Kanthan di sini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button