BANGI – Kerajaan komited dalam memastikan mualaf di negara ini dapat mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya seterusnya menjadi mukalaf yang terbaik, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, kerajaan juga mengambil maklum akan perkembangan mualaf dari semasa ke semasa dan mengiktiraf pencapaian yang diperoleh golongan tersebut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelbagai aktivti juga telah dianjurkan dalam usaha memastikan mualaf di negara ini mendapat impak yang terbaik.
“Usaha ini akan dilaksana menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam negeri (Jain) dan Majlis Agama Islam negeri (Main).
“Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan hari ini, adalah antara inisiatif dapat dizahirkan di mana mualaf diberi ruang berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta pencapaian terbaik mereka diiktiraf melalui penganugerahan berdasarkan beberapa kriteria,” katanya pada Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pintu bagi mualaf untuk menghayati keindahan Islam sentiasa terbuka melalui pelbagai cara.
“Islam merupakan agama indah yang mampu memberi kebahagiaan hakiki kepada setiap insan tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli atau lain- lain, kedudukan sama ada kaya, miskin, berjawatan atau di mana mereka berada melalui panduan lengkap sebagai mana tertera di dalam al-Quran dan hadis,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








